Khamis, 22 Mac 2012

Kekal Dalam Taqwa


Pengertian taqwa belum sempurna jika difahami sekadar "takut kepada Allah". Spektrum taqwa sebenarnya mencakupi cinta dan takut kepada Allah. Bagaimanakah seseorang boleh berasa cinta dan takut pada masa yang sama? Caranya ialah, cinta seseorang itu kepada Allah  menyebabkan dia takut untuk mengundang kemarahan-Nya.

Manifestasi kepada taqwa adalah sepertimana yang dijelaskan oleh Umar  iaitu, taqwa itu ibarat melalui jalan berduri. Seseorang harus berhati-hati melaluinya supaya tidak terluka. Kejahatan dan kemaksiatan adalah ibarat duri-duri yang harus kita elak secara berhati-hati. Sikap kehati-hatian inilah merupakan manifestasi dan praktis taqwa dalam kehidupan.

Secara umumnya, taqwa dapat ditingkatkan dengan beramal demi mentaati Allah. Contohnya, dalam ayat perintah difardhukan berpuasa dalam surah Al-Baqarah ayat 183, ayat tersebut diakhiri dengan kalimah "agar kamu bertaqwa". Jika kita meneliti Al-Quran, terdapat berbagai lagi perintah lain yang mengkhabarkan manfaat beroleh taqwa. Memang hal ini benar, subhan-Allah. Jika kita tidak berjuang untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, kita tidak beroleh ketaqwaan. Perasaan taqwa didirikan dengan amal, bukan sekadar pemusatan fikiran semata-mata.

Masalah biasa yang kerap berlaku ialah kita gagal kekal dalam taqwa. Mungkin kita menjadi insaf apabila membaca Al-Quran atau mendengar tazkirah, tetapi apabila berinteraksi dengan dunia luar kita boleh alpa tentang Allah dan seterusnya dua Malaikat yang sentiasa mencatit amal.

Terdapat beberapa cara untuk kekal dalam taqwa antaranya, pertama, biasakan zikir kepada Allah. Latih diri anda untuk berzikir sehingga berzikir dianggap rutin dan automatik. Hafal dan amalkan zikir-zikir sahih yang boleh dikutip daripada Al-Quran dan hadith-hadith Nabi . Zikir ibarat perisai seorang mukmin. Apabila kita tidak disibukkan dengan zikir, kita mudah leka dan ini akan melonggarkan taqwa.

Cara kedua ialah dengan menghafal dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah dan melibatkannya dalam kehidupan. Kita risau dengan tahap keakraban dan pemahaman umat Islam dengan dalil. Tidak cukup jika kita berkata hal ini dilarang dan hal ini diperintah, sedangkan kita tidak mengenali pun dalil-dalilnya. Berusahalah menghafal dan belajar penjelasan dalil-dalil sedikit demi sedikit, kemudian latih diri untuk mengaitkan kehidupan dengan dalil-dalil tersebut. Insya-Allah, lama kelamaan akan terbiasa. Contohnya, apabila terasa ingin berbual hal yang buruk, ingatilah perintah Nabi  agar "bercakaplah yang baik atau diam" (HR Al-Bukhari). Apabila ingin marah, ingatilah hadith Nabi  agar "jangan marah" (HR Al-Bukhari). Apabila ingin mengumpat, ingati larangan Allah terhadap umpatan (Al-Hujurat, ayat 12). Beginilah caranya ilmu kita tentang kalam Allah ta'ala dan sunnah Rasulullah  dapat mengekalkan kita dalam taqwa, dengan izin Allah .

Cara ketiga ialah dengan mengingati kematian. Rasulullah  bersabda:
"Banyak-banyaklah mengingati pemutus kenikmatan (kematian)." (HR Al-Tirmidzi: Dinilai hasan gharib oleh Al-Tirmidzi.  Al-Hakim menilainya sahih 
menurut syarat Muslim, disepakati oleh Adz-Zhahabi)
Tidak dapat tidak, apabila kita risau dan ingat tentang pengakhiran hidup kita yang boleh berlaku pada bila-bila masa, maka pada setiap masa pun kita akan bertaqwa kepada Allah!